Wednesday, September 30, 2015

Penternakan Itik Penelur dan Pedaging

My Contacts :
6019-6741196
6016-9007857 (WhatsApp)
kopetas30@gmail.com
Salahuddin

My Sites

Pembekal Kayu Nibong dan Buluh

Pengenalan

         Penternakan itik penelur dan pedaging semakin mendapat tempat dikalangan pengusaha tempatan. Penternakan ini memang menguntungkan sekiranya diusahakan secara betul dan dengan memahami kehendak dan keperluan itik dari segi perumahannya, pemakanannya, sifat-sifatnya, penyakit dan lain-lain hal yang bersangkutan.

Kegagalan pengusaha memahami tabii itik atau tidak menyediakan keperluan-keperluannya boleh menjadi penyebab terbesar yang menyumbang kepada kegagalan projek penternakan itik ini.

Belajar dari pengalaman adalah amat penting sekali kerana kadang-kala teori yang dibaca dari buku-buku, ilmu yang diperolehi semasa kursus jangka pendek atau sessi lawatan ke reban itik orang lain yang dianggap berjaya kadangkala tidak menepati citarasa, keadaan sekeliling, kemudahan, peralatan serta modal kita.

Reban Itik

Syarat paling utama dalam menguruskan reban dan kelengkapan persekitaran reban itik ialah untuk mengelakkan berlakunya stress pada itik terutamanya kepada itik penelur (Khaki Campbell) Sekiranya stress terjadi, bilangan telur akan turun mendadak kadangkala boleh mengakibatkan penyakit dan kematian. Stress pada itik boleh berlaku dalam banyak keadaan sebagai contohnya :-

-Kesesakan atau bilangan itik yang terlalu banyak dalam reban yang sempit.

-Jumlah bekas makanan atau minuman yang tidak mencukupi mengakibatkan itik terpaksa berebut-rebut untuk makan dan minum.

-Keadaan reban yang basah dan kotor, menyebabkan ketidakselesaan pada itik.

-Gangguan dari persekitaran seperti adanya haiwan lain seperti lembu, kambing monyet, anjing dan lain-lain yang menakutkannya atau usikan dari kanak-kanak. Walaupun gangguan-gangguan ini datangnya dari luar pagar, tetapi ianya tetap boleh menyebabkan berlakunya stress. Berdasarkan pengalaman saya, reban itik penelur yang baik mestilah berlampu pada waktu malam, dindingnya perlu bertutup contohnya dengan kanvas pada waktu malam supaya itik telur ini tidak nampak apa-apa diluar reban. Walaupun seekor katak melompat di luar pagar, sudah cukup untuk menghuru-harakan seluruh reban itik itu, bayangkan kalau anjing liar atau lembu yang melintas reban itu.

-Bekalan elektrik, lampu kecemasan dan generator backup.
Disamping itu lampu kecemasan yang mencukupi juga perlu diletakkan didalam reban, sebagai langkah berjaga-jaga apabila berlakunya terputus bekalan elektrik Berdasarkan pengalaman, saya pernah menjaga projek itik penelur yang dianjurkan oleh sebuah agensi kerajaan disini. jumlah itik adalah lebih kurang 3500 ekor, rebannya agak sempit menyebabkan itik agak sesak. Sejak  bermulanya projek ini memang tidak ada lampu kecemasan. Walaubagaimanapun tiada masalah kerana reban ini mempunyai lampu dan bekalan elektrik yang cukup. Keadaan Itik adalah baik dan separuh dari itik telah mula bertelur. Saya telah memberi amaran kepada pihak atasan projek ini supaya menyediakan lampu kecemasan, tetapi malangnya tidak diendahkan. Pada suatu malam berlakulah hujan lebat disertai angin ribut. Sepohon pokok telah tumbang menimpa wayar elektrik ditepi jalan. Akibatnya reban itik kami bergelap pada malam itu dan disertai 2 malam lagi berikutnya kerana hujan ribut berterusan, Pada hari ke-3 selepas kejadian itu, jumlah itik yang masih hidup hanya tinggal 50 ekor sahaja. Anda sila fikirkan betapa pentingnya lampu kecemasan dan generator backup.

Itik mesti dikurung pada malam hari, ini adalah untuk mengelakkan itik menjadi makanan pemangsa seperti anjing liar, ular sawa, musang, pencuri dan lain-lain. Kadangkala kita terlupa menghalau itik masuk ke reban pada malam, kebetulan pula malam itu berlakunya hujan lebat, bila hujan turun itik akan bermain hujan tanpa menghiraukan kesejukan. esoknya kita akan mendapati sebilangan itik tidak boleh berjalan. bila di periksa rupanya itik tu dah kena selsema..Pada hari itu dan 2 3 hari selepasnya banyaklah itik yang mati kerana tidak tahu cara untuk merawatnya.Selsema pada manusia tidak merbahaya, selsema pada itik / ayam boleh membawa kematian.

Reban itik yang baik.

-Mempunyai keluasan yang mencukupi dengan jumlah itik sebagai contohnya jarak ruang yang sesuai untuk seekor itik dewasa adalah 3 kaki seekor.
-Jauh dari kawasan perumahan. (sekurang-kurangnya 500 meter)
-Mempunyai ventilasi udara yang baik.
-Kedudukan reban ialah melintang matahari naik dan turun. Ini supaya cahaya matahari dapat masuk ke dalam reban pada awal pagi dan waktu petang.
Pada waktu siang, itik dilepaskan keluar dari reban dan cahaya matahari dapat masuk untuk mengeringkan lantai reban Apabila malam hari itik dapat berehat dengan selesa
Pengurusan anak itik pada peringkat awal (anak).

   Peringkat paling kritikal dalam penternakan itik. Kebanyakan penternak itik yang baru tidak begitu memahami cara pengurusan yang betul pada peringkar ini menyebabkan berlaku kerugian yang banyak kerana anak itik banyak yang mati.

Masalah ini berlaku pada semua jenis anak itik dan juga anak ayam yang baru dibeli dari pemborong. Masalah ini berlaku sejak hari pertama anak ternakan ini sehinggalah berumur 2 minggu keatas.

Latar belakang masalah

Secara semulajadi, anak itik dieramkan oleh ibunya. Sejak menetas, pada waktu malam yang sejuk anak itik/ayam akan duduk dibawah badan ibunya yang hangat, dengan itu mereka terlindung dari cuaca sejuk.

Berbeza dengan anak itik / ayam yang dibeli dari pemborong. Tidak ada ibu itik / ayam bersama mereka. Apa yang berlaku pada waktu malam yang serjuk?

Mereka akan duduk berhimpit sesama sendiri untuk mendapatkan haba panas dari badan anak itik / ayam yang lain.

Jika jumlah anak itik / ayam itu 10-20 ekor tidak menjadi masalah. Tetapi jika jumlah anak itik / ayam itu ratusan atau ribuan didalam sebuah reban yang luas akan ada masalah yang besar.

Walaupun disediakan alat pemanas seperti mentol atau pemanas dari api gas, mereka tetap akan duduk berhimpit-himpit sehingga 4-5 lapisan. Anak itik / ayam yang duduk di lapisan paling bawah akan mati terhimpit keesokan harinya.

Pada waktu itu, walau dihalau macamana sekalipun, mereka akan tetap berkumpul dan berhimpit. Dihalau disini mereka berkumpul disana, dihalau disana mereka berkumpul disini. Begitulah yang terjadi sehingga kita letih menghalau dan surrender dan masuk tidur. Esok paginya, kerja kitalah mengutip bangkai anak itik/ayam. Bayangkanlah berapa banyak yang kita rugi.


Cadangan penyelesaian

Sebuah reban khas perlu dibina untuk anak itik / ayam ini. Sebaiknya reban ini hendaklah dibina didalam reban itik yang telah siap dibina (reban didalam reban) supaya terlindung dari kepanasan disiang hari  dan kesejukan yang melampau pada malam. Lantainya   menggunakan jaring plastik bersaiz setengah inci atau yang sesuai supaya makanan dan minuman yang tertumpah serta najisnya boleh jatuh ke bawah. Ini untuk mengelakkan anak itik terkena kelembapan dan sentiasa kering.

Halangan atau blok perlu dibina supaya anak itik tidak boleh berkumpul beramai-ramai untuk mengelakkan kematian akibat berasak-asak di waktu malam.

Halangan yang sesuai adalah setinggi 1 kaki. Dibuat menggunakan jaring, plywood atau apa sahaja yang sesuai asalkan dapat menghalang mereka berkumpul.

Saiz blok terpulang kepada kemampuan anda. Contohnya blok bersaiz 3 x 3 kaki persegi boleh memuatkan 20 ekor anak itik. Dengan jumlah yang kecil ini akan dapat mengurangkan kematian anak itik akibat berasak-asak.

Setiap blok mempunyai bekas makanan dan minuman sendiri.

Alat pemanas seperti mentol elektrik atau penunu hoover yang menggunakan api gas hendaklah dipasang di malam hari. Sekiranya anda ada kemampuan setiap blok boleh dipasang pemanas dari mentol elektrik  yang sesuai.

Contohnya ialah mentol 40 watt dipasangkan cap / corong yang menghalakan cahaya ke bawah  digantung kira-kira 4-5  inci diatas kepala anak itik/ayam. Pada waktu malam semua anak itik/ayam akan berkumpul dibawah mentol ini untuk mendapatkan kepanasan.  Ketinggian yang sesuai dan boleh dilaras adalah perlu supaya mengelakkan mentol ini dipatuk oleh anak itik . ayam ini.

Anak itik/ayam hendaklah dipelihara disini sehingga umurnya mencapai 3-4 minggu.


Apabila bulu dibadannya sudah mulai tumbuh dan mereka kurang berasak lagi pada waktu malam, maka bolehlah blok  ini  dibuka dan mereka dibenarkan bebas didalam reban.

Makanan untuk anak itik

Paling mudah ialah anda dapatkan makanan untuk anak ayam yang djuga dipanggil "starter" (dedak ayam halus). Yang berkualiti dan mempunyai protin tingg biasanaya berwarna hitam. kalau yang agak kekuningan itu kadar protinnya rendah dan biasanya lebih murah dari yang berwarna kehirtaman,

Anak itik diberi makanan ini dalam tempoh sebulan sebelum boleh diberi makanan buatan sendiri.

Pengurusan Najis (tinja) Itik

Satu persoalan yang jarang difikirkan oleh penternak itik pada permulaan projek, tetapi akan menjadi masalah yang mengganggu fikiran penternak setelah projek berjalan beberapa bulan kemudian.

Najis itik yang banyak akan mengundang kepada masalah bau busuk dan pembiakan lalat seterusnya reban itik itu akan dimaki oleh jiran-jiran berdekatan. Pernahkah persoalan ini difikirkan sebelum projek itik ini dimulakan?

Oleh itu, rekabentuk reban itik harus dibina dengan mengambil kira kemudahan untuk melupuskan najis itik. Tak kiralah  samada najis itu hendak dikumpulkan kemudian dijual sebagai baja kepada sektor pertanian, atau najis itu hendak dialirkan ke sungai atau parit berdekatan asalkan tidak mengganggu persekitaran.
Antara cadangan yang boleh difikirkan adalah mengalirkan najis itu ke sungai atau parit berdekatan, untuk ini anda perlu mendapatkan khidmat nasihat dari pihak Jabatan Alam Sekitar atau pihak Majlis Daerah yang berdekatan supaya najis yang dialirkan ke sungai itu mematuhi kadar peratusan yang dibenarkan untuk dilupuskan ke sungai awam supaya tidak timbul isu pencemaran sungai.

Mengalirkan najis itik ke sungai dengan kadar yang sesuai (tidak lebih dari 4 % dari keluasan sungai itu-sila rujuk kepada Jabatan Alam Sekitar) sebenarnya menyuburkan sungai itu sendiri. Najis itik akan menggalakkan pertumbuhan fitoplankton dan zooplankton yang menjadi makanan anak ikan, secara tidak langsung ini akan menggalakkan populasi ikan dalam sungai tersebut.

Untuk cadangan ini, anda perlu merancang pelan reban itu dari awal lagi seperti membina lantai simen, dan longkang atau parit yang sesuai untuk mengalirkan najis itik itu.

Lantai Reban Itik dan Masalah Telur Basah.

Apakah lantai reban itik yang paling baik?? Antara bahan yang popular ialah tanah biasa, pasir, habuk papan, sekam padi dan lain-lain. Masalah yang paling besar ialah untuk menjamin telur itu supaya kering. Sekiranya telur itik basah ia tidak dapat bertahan lama, paling lama seminggu lepas itu ia akan ia akan menjadi telur busuk dan anda akan mendapat kemarahan dari pembeli. Telur yang tidak terkena air (kering) boleh bertahan selama sebulan lebih. 

Semua bahan-bahan yang dijadikan lantai reban itik seperti yang dinyatakan di atas tidak dapat bertahan lama. Selepas seminggu ia akan dipenuhi dengan tahi itik yang basah terutama sekali kalau anda menggunakan hampas soya sebagai bahan campuran dalam makanannya. Lebih memburukkan lagi keadaan apabila tiba musim hujan, Lantai yang basah sudah pasti akan menjejaskan kualiti telur itik.

Disinilah  masalah itu akan menjadi besar. Jalan penyelesaiaan yang paling cepat ialah menyediakan sarang tempat itik bertelur dengan menggunakan papan atau kotak kayu. Di dalamnya perlu diisi dengan habuk kayu atau sekam padi. Sarang bertelur ini perlu disediakan sebelum itik mula belajar bertelur untuk membiasakan mereka. Kebiasaannya telur yang dihasilkan dari sarang bertelur ini adalah kering.

Berdasarkan pengalaman, tidak semua itik akan bertelur dalam sarang yang disediakan, separuh itik akan bertelur di merata-rata tempat dan ia pasti akan basah.

Penyelesaiaan segera yang biasanya digunakan oleh saya ialah, telur yang kering dikumpul dan dijual kepada peraih telur , telur yang basah terus dibasuh bersih-bersih dan diproses sebagai telur masin. Selesai masalah.

Cadangan lain adalah membina reban berbentuk panggung atau reban atas dengan ketinggian sekurang-kurangnya 6 kaki supaya pekerja boleh masuk ke bawah untuk mengumpulkan najis, lantainya menggunakan kayu yang disusun jarang-jarang atau jaring dan sebagainya. Sepertimana reban ayam komersil  yang biasa kita lihat. Lantai sebegini akan membolehkan najis dan air minuman yang tumpah terus jatuh ke tanah dan keadaan ini mengurangkan risiko telur menjadi basah. Kalau musim hujan pun tidak berapa bermasalah. Selepas itu tambahkan pula dengan sarang bertelur secukupnya.  Saya pasti ini adalah cadangan yang terbaik untuk mengatasi masalah telur basah. Walaubagaimanapun modal yang agak tinggi diperlukan untuk melaksanakan cadangan ini.


 (Pada siang hari itik dilepaskan ke luar reban,
pada malam hari itik dikurung dalam reban)

Itik penelur (khaki campbell) ini memiliki sifat yang amat sensitif dan mudah mendapat stress, untuk menjamin kejayaan dalam penternakan itik penelur ini, kita hendaklah mencipta suasana persekitaran reban yang setenang-tenangnya supaya mereka dapat hidup, membesar dan memberikan hasil yang maksimum.

Elakkan membina reban berdekatan dengan kawasan industri atau tempat yang menghasilkan bunyi bising, Hanya pekerja yang sudah biasa dengan sifat itik ini dibenarkan berada dalam kawasan reban, Kedatangan pelawat hendaklah dihadkan di kawasan tertentu sahaja. Pelawat terutama kanak-kanak tidak dibenarkan memasuki kawasan reban. kerana kanak-kanak mudah teruja melihat itik lalu ingin mengejar dan menangkapnya. Serba salah kita dibuatnya, hendak ditegah, ibu bapanya adalah pelawat,  Itik yang kena kejar tu ada yang terlepas telurnya disitu juga, dan memang comfirmlah itik yang kena kejar tu tak akan bertelur selama beberapa minggu selepas tu.

 Pembiakan itik

-Pengeraman Semulajadi

Bagi anda yang bercadang hendak memulakan penternakan itik penelur (khaki campbell) saya sarankan elok dibeli dalam 20-30 ekor anak itik muscovy / serati ini dan dipelihara dengan itik penelur. Tujuannya ialah apabila sampai masa itik serati ini bertelur dan mulai mengeram, anda boleh mencampurkan telur itik serati dengan telur itik penelur supaya dieramkan sekali. Atau anda boleh menukarkan semua telur itik serati dengan telur itik penelur. (Ibu itik bukannya tahu) Tetapi harus dilakukan dengan berhati-hati. Pantang-larang yang harus diketahui ialah sarang itik itu tidak boleh pindahkan, nanti ibu itik itu akan merajuk dan tak mahu mengeram!!




Ada kalanya ibu serati bertelur ditempat yang tidak sesuai seperti dicelah pokok atau dalam semak-samun yang terdedah kepada hujan.Kalau dipindahkan telur / sarang itu ke tempat lain yang lebih selamat, ibu itik akan merajuk. Apa kita perlu buat?

Jawapannya ialah kita tidak boleh memindahkan sarang tersebut untuk mengelakkan ibu itik itu merajuk, apa yang kita boleh buat ialah membaiki sarang tersebut supaya boleh bertahan dalam cuaca panas dan hujan, ambil kotak plastik / atau besen  yang sesuai letakkan pada tempat asal sarang itu, masukkan semua telur dalam sarang itu ke dalam besen termasuk rumput dan bulu-bulu yang ada dalam sarang asal itu, susun semuanya supaya nampak macam keadaan asal. ambil payung kecil, buangkan pemegangnya dan pacakkan keatas sarang itu supaya sarang itu tidak dibasahi hujan. 

Waktu paling baik  untuk melakukan proses ini adalah semasa ibunya tengah mengeramkan telur itu, dengan hati-hati, alihkan ke tepi ibu itik itu sebentar, kemudian lakukan proses pembaikan sarang itu, setelah selesai, letakkan ibu itik ke dalam sarang barunya. Selesai. Banyak kali saya telah lakukan cara ini, semuanya berjaya. Selamat mencuba.

Wednesday, September 26, 2012

Pembekal Anak Itik

HARGA

Anak Itik Khaki Campbell (Penelur)RM3.80 seekor
Anak itik Peking Duck (Pedaging) RM3.80 seekor
Ayam Kampung Ori RM3.70 seekor
Ayam Kampung Kacuk RM3.70 seekor

Minimum Order 100 ekor

Penghantaran Percuma ke lokasi berikut 

KL/Selangor = ambil di Plaza Tol Gombak

Kuantan / Terengganu = ambil di Pasar Besar Kuantan

Johor = ambil di tol laluan lori yang terdekat.

Kawasan Utara = ambil di Plaza Tol Sungai Bakap

Syarat Pembelian :

1-Pihak Pengilang mensyaratkan pembeli mestilah membayar keseluruhan harga anak ternakan sebelum penghantaran dilakukan. 

2-Bayaran hendaklah dibuat ke dalam akaun yang akan diberikan.

3-Sebagai jaminan keselamatan wang anda, saya akan berikan gambar MYID saya kepada anda sebelum bayaran dilakukan.

4-Pada hari penghantaran, pemandu lori akan menghubungi anda supaya anda dapat bersedia dan tahu waktu perjalanan lori.

5-Penghantaran hanya dilakukan pada hari Isnin dalam setiap minggu. Oleh itu anda diminta bank in wang selewat-lewatnya pada hari Sabtu.

6-Anda diminta menunggu di plaza tol atau tempat yang dijanjikan/ (saya mohon maaf kerana driver lori tidak suka menunggu lama)

7-Sila bawa kenderaan yang sesuai (Van atau lori) untuk membawa pilang anak ternakan ke tempat anda.

Sebarang Pertanyaan Sila hubungi :-

Salahuddin Husain
019-6741196
016-9007857 (whatsApp)

Mengeramkan telur itik

Kebaikan Melakukan Pengeraman Secara Semulajadi

-Tak perlu keluar duit beli inkubutor
-Langsung tak gunakan letrik
-Tak perlu menyediakan kandang asuhan
-Tak perlu jaga suhu, kelembapan dan sebagainya.
-Ibunya akan menjaga anaknya, kita beri makan saja.
-Waktu malam, anak itik akan tidur dalam kepak ibunya.


Pengeraman Menggunakan Inkubutor


Inkubutor adalah sejenis alat yang dicipta untuk menggantikan peranan ibu itik / ayam untuk melakukan tugas mengeram telur. Komponen utama dalam sebuah inkubutor ialah:-


-Alat pemanas yang menggunakan mentol, plat pemanas dan lain-lain.

-Kipas yang berfungsi untuk menyebarkan udara panas didalam inkubutor.
-Bekas takungan air. Air adalah perlu untuk menjaga tahap kelembapan didalam inkubutor agar kulit telur tidak menjadi terlalu kering yang akan menyukarkan anak itik / ayam menetas.
-Alat kawalan suhu (thermostat). Kita mengawal suhu dengan menetapkan suhu minima dan maksima didalam inkubutor itu. Apabila suhu mencapai tahap maksima, alat ini secara automatik akan mematikan alat pemanas, apabila suhu menurun ke tahap minima, alat ini akan menghidupkan semula pemanas.

Kebaikan Menggunakan Inkubutor


-Menghasilkan anak itik dalam jumlah yang besar secara serentak.

-Perlukan ilmu tentang kawalan suhu, kelembapan dan lain-lain.
-Perlu menyediakan kandang asuhan yang sesuai.


 
Kandang asuhan , jumlah anak itik / ayam hendaklah tidak terlalu padat, mempunyai bekas makanan dan minuman sendiri serta alat pemanas dari mentol elektrik atau api dari gas (hover) masa yang sesuai untuk memasang alat pemanas ialah pada pukul 6.00 petang sehingga pukul 10.00 pagi. (kalau hari hujan tempoh itu itu dilanjutkan sehingga cuaca panas) Anak itik / ayam dikurung disini sekurang-kurangnya selama 2 minggu (masa kritikal) sebelum dibenarkan bebas. 

Sebuah Inkubutor Automatik

Boleh mengeramkan 100 biji telur itik serentak  dalam satu masa, Traynya kan beralih kedudukan ke atas dan kebawah 2 kali sejam secara automatik. Harga dipasaran sekarang sekitar anggaran RM3000.00 atau mungkin lebih.



Bagaimana mendapatkan telur yang subur untuk dieramkan?

Persoalan ini timbul dalam bidang penternakan ayam daging, ayam telur dan itik telur. Bagi ayam kampung dan itik muscovy mungkin tidak timbul soalan ini kerana mereka bertelur, mengeram serta menjaga anak mereka sendiri.

Pernahkah anda membeli telur ayam atau itik dari kedai dan mengeramkannya. kalau dieramkan telur ini adakah ia boleh menetas? Jawapannya tidak, kerana telur ini dihasilkan tanpa ayam/itik jantan, ayam telur dan itik telur adalah dari baka yang telah diubahsuai secara saintifik supaya apabila telah cukup matang mereka akan menghasilkan telur walaupun tanpa "sumbangan" dari jantan. Apa yang perlu ialah mereka ini diberi cukup makan, apabila cukup makan mereka akan bertelur setiap hari sampailah mereka pencen, apabila telah pencen, mereka pun dijual untuk dagingnya pula.

Cara paling mudah ialah membeli baka ayam/itik tersebut dari kedai, Tetapi bagaimana kalau kita hendak membiakkan sendiri ayam daging, ayam telur dan itik telur? Soalan ini pernah saya ajukan kepada mereka yang telah lama berkecimpung dalam bidang ini. Jawapan yang diterima adalah samar dan kabur. Antara jawapannya adalah benih ini diproses dalam makmal atau telur ini disuntik dengan ubat tertentu sebelum dieramkan. Saya tidak pasti kenapa jawapan sebegini yang diterima. Saya beranggapan mungkin mereka tidak mahu mendedahkan cara sebenar supaya rahsia ini tidak diketahui oleh orang awam seperti saya dan mereka dapat terus memonopoli industri ini.

Tidak berpuas hati dengan jawapan itu saya mula melakukan penyiasatan, setelah beberapa kali membuat tinjauan, pemerhatian dan penilaian akhirnya saya telah mendapatkan jawapannya yang akan saya nyatakan disini. 

Walaupun ayam penelur dan itik penelur dihasilkan dari pengubahsuaian genetik, tetapi apabila umurnya mencapai tahap kematangan (5 bulan keatas) mereka akan mengawan. Secara logiknya telur yang dihasilkan oleh induk betina yang mengawan boleh ditetaskan. Saya telah cuba mengeramkan telur itik khaki campbell menggunakan ibu tumpang (itik serati) dan didapati  telur itu menetas.

Ladang itik yang besar biasanya memiliki reban khas untuk memuatkan induk-induk bagi menghasilkan telur yang subur untuk ditetaskan. Reban ini dilengkapi dengan tempat makan dan minum, tempat mandi dan tempat tidur yang selesa. Makanan yang diberi adalah lebih baik dan mempunyai kadar protein yang tinggi.

Induk itik betina dan jantan dipilih dari kalangan itik yang sihat pada kadar 1 jantan 3 betina (ratio 1:3). Telur yang dihasilkan dari reban ini boleh dieramkan.


Itik Khaki Campbell (Penelur)

Itik ini adalah hasil kacukan daripada itik Indian Runner dan Rouen. Dihasilkan oleh Sir Adele Campbell pada tahun 1940-an di England. Mempunyai kadar penghasilan telur yang paling tinggi berbanding itik jenis lain.

Itik Khaki Campbell Dewasa (Sudah Bertelur)


Perbezaan Sifat Itik Khaki Campbell dan Muscovy

Saya telah memelihara kedua-dua jenis itik ini, kedua-dua itik ini memiliki sifat yang amat berbeza. Sepertimana yang kita ketahui itik Khaki Campbell dipelihara untuk menghasilkan telur yang boleh dijual sebagai telur segar dan telur masin, sementara itik Muscovy pula untuk dagingnya.

Itik Khaki Campbell

Itik Khaki Campbell mempunyai sifat yang amat sensitif, mudah stress dan liar. Sebarang bentuk gangguan yang mereka tidak biasa akan menyebabkan mereka bertempiaran lari ketakutan. Perkara ini yang perlu dijaga supaya tidak menjejaskan produktiviti telur sepertimana yang telah saya nyatakan di atas. 

Walaubagaimanapun itik ini mudah dikawal dan agak berdisiplin. Semasa itik ini masih diperingkat anak, saya telah mengajar mereka dengan sejenis bunyian isyarat. Isyarat ini dibunyikan setiap kali memberi makan kepada mereka sehingga mereka sudah biasa dan kenal bunyi itu. Saya menggunakan kaedah pemeliharaan lepas bebas (itik tidak dikurung) dihadapan reban itik ada sebatang parit taliar. Pada waktu pagi itik akan dilepaskan keluar dari reban, selepas mereka diberi makan, mereka bebas merayau kemana-mana sahaja dalam taliar itu. Tujuannya adalah untuk mengelakkan mereka stress. (sepertimana gambar yang anda dapat lihat dibawah).Kadangkala mereka merayau melebihi 500 meter atau lebih dari reban. Tetapi bagi saya tidak menjadi masalah, Bila saya ingin memanggil pulang itik itu pada bila-bila masa, saya hanya perlu membunyikan isyarat itu dari reban dan mereka akan berbondong-bondong pulang ke reban. Memang kedengaran agak ganjil, tapi saya telah lakukannya.



Video diatas adalah rutin harian pada petang hari, saya minta maaf kerana tidak berbaju pada masa itu, dan keadaan reban yang agak daif, reban dibuat sendiri menggunakan buluh dan atap rumbia sahaja, maklumlah kekurangan modal, Apabila hari hampir senja, itik akan berkumpul diluar reban, pintu reban ditutup dan saya menyediakan makanan itik didalamnya. setelah selesai menyediakan makanan, barulah mereka dibenarkan masuk, perhatikan dengan teliti bunyi isyarat truuuttt, truuuutt... yang saya keluarkan dan lihatlah respon dari itik.



Saudara Nor Zaidi, Jurukamera dan sahabat karib yang telah banyak memberi dorongan dan semangat kepada saya untuk menjayakan projek itik ini. Terima kasih daun keladi Zaidi..


Dari aspek disiplin pula, walaupun saya terlupa memanggil pulang itik itu pada petangnya itik yang merayau itu akan pulang sendiri bila hari beransur senja. Kadang-kala semua itik sudah masuk ke reban dan pintu reban sudah ditutup, saya pun sudah balik ke rumah. Kalau ada seekor dua itik yang terlewat balik. Saya hanya akan mengetahuinya pada pagi besok. Bila saya sampai ke reban didapati ada seekor dua yang tidur diluar reban. Itu memang sahlah itik yang terlewat balik pada petang semalam.

Dengan menggunakan kaedah lepas bebas ini serta hanya menggunakan makanan yang diproses sendiri, lebih dari 90% itik saya bertelur dengan baik, dan jumlah ini kekal selama beberapa bulan sebelum tibanya musim meluruh.

Musim meluruh bermaksud apabila sampai jangkamasa tertentu, bulu itik akan meluruh, ketika itu itik akan berhenti bertelur-seolah olah berehat sekejap dari bertelur, apabila bulunya penuh semula, ia akan bertelur balik. Tetapi musim meluruh ini bukan berlaku serentak kepada semua itik, dalam masa tertentu ada itik yang meluruh dan ada yang tidak. Yang meluruh akan bercuti yang penuh bulu akan bertelur. Apabila yang meluruh penuh bulu, ada yang penuh bulu akan mula meluruh. Begitulah seterusnya. Bagi itik yang meluruh itu, memang tidak ada rawatan khas untuk memaksa ia bertelur balik, hanya masa yang menentukan bila ia akan penuh bulu dan bertelur semula. Sebab itulah adanya peningkatan dan penurunan hasil telur.

Itik Tak Perlu Mandi ???

Adakah itik tidak perlukan kolam tempat berenang?? Ada pihak mendakwa itik penelur ini tidak perlu mandi, yang penting adalah sediakan makanan dan minuman yang mencukupi dan mereka akan bertelur dengan baik. 

Berdasarkan keterangan ini, ada pengusaha yang membuat reban tanpa menyediakan tempat mandi itik. Saya akui kebenaran kenyataan ini, walaubagaimanapun berdasarkan pengalaman, kawasan reban itu akan berbau busuk. Dari jarak 300-400 meter lagi kita sudah  dapat menghidu bau busuknya.

Keadaan ini tidak berlaku kepada itik yang disediakan tempat mandi, Kalau hendak dikatakan tidak berbau langsung penipulah, Berbau juga tapi tidak seteruk itik yang tidak diberi mandi, dari jauh tidak berbau, bila kita pergi dekat dengan rebannya barulah ada bau. Itupun baunya tidaklah ketara sangat.

Bila saya periksa bau kuat itu bukannya datang dari najis itik, tapi dari badan itik yang tidak mandi, tambahan pula kalau itik yang berkurung dalam reban 24 jam mereka akan bergelumang dengan najis, lumpur dan sebagainya, itu yang menjadi punca bau yang kuat.

Akhirnya saya lihat tuan itik yang mendakwa itiknya tak perlu mandi itu terpaksa menyembur air kepada itiknya pakai air paip (itiknya berkurung dan rebannya tiada kolam mandi) barulah baunya kurang. 

Itik Penelur Tidak perlukan Itik Jantan???

Bagaimana nak membezakan jantina itik? Semasa peringkat anak memang agak sukar untuk dikenali kecuali mereka yang bergiat dalam bidang pembenihan itik ini. Bagi orang awam seperti kita cara yang mudah ialah apabila anak itik sudah penuh bulunya (berusia sebulan keatas) jantina itik dapat dikenali. Lihat pada bunyi yang dikeluarkan, kalau itik itu berbunyi kuat, itu itik betina. Ini comfirm. Itik jantannya mengeluarkan bunyi yang perlahan seperti berbisik. Kepala itik jantan lebih besar dari betina. Badan itik jantan lebih tegap, itik betina kelihatan lebih kecil dan rendah. Lihat pada ekornya, hujung ekor itik jantan ada simpulan berbentuk seperti bulatan (seperti rambut kerinting), hujung ekor itik betina berbentuk lurus.

Ada pengusaha yang saya kenali berpendapat itik penelur ini tidak perlukan itik jantan. Dari peringkat awal lagi dia akan menghapuskan / menyembelih itik jantan ini dengan alasan rugi / membazir makanan sedangkan tiada hasil diperolehi.

Secara peribadi, saya berpendapat tindakan itu adalah zalim dan tidak berperikemanusiaan. Bayangkan sebuah masyarakat yang hanya ada golongan wanita sahaja tanpa ada lelaki. Memanglah tujuan kita memelihara itik untuk mendapat keuntungan, tapi janganlah zalim sangat. Sekurang-kurangnya dalam seribu ekor itik betina berilah 100 ekor jantan, biarlah ada sedikit kebahagiaan dalam kehidupan itik itu.

Itik Muscovy / Nila / Serati

Itik Muscovy adalah nama yang dikenali diperingkat dunia, Di Malaysia, masyarakat disebelah Utara memanggilnya dengan nama Itik Nila, sementara di Selangor dan KL memanggilnya dengan nama Itik Serati.

Sejenis itik pedaging yang paling popular. Semua bangsa di Malaysia menyukai daging itik ini termasuk pendatang asing dari Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan lain-lain. Itik ini lebih mudah diternak berbanding itik penelur kerana bersifat tahan lasak dan tidak banyak kerenah dari segi pemakanannya. Jangkamasa penternakan lebih kurang 3 bulan. Apabila berat badannya mencapai 2 kg keatas, Itik ini sudah bersedia untuk dijual.

Berat badan itik betina hanya mencapai 2 - 3 kg, sementara itik jantannya boleh mencapai 6-7 kg. Harga borong biasanya berlegar di sekitar RM10 - RM12 se-kg.  mengikut kawasan. Bayangkan kalau tuan-tuan mempunyai itik jantan yang banyak?

Itik betinanya bertelur dan mengeram. Oleh itu, jika tuan-tuan memulakan penternakan dengan 50 ekor anak itik. Dalam masa 6-7- bulan berikutnya tuan-tuan akan mendapat pertambahan anak-anak itik yang dieramkan sendiri oleh itik betina dewasa. Oleh itu perlu disediakan tempat bertelur (kotak kayu/plastik) yang sesuai dalam reban/kawasan itik

Itik betina akan bertelur sebanyak 10-15 biji sebelum mula mengeram. Anak itik akan mula menetas selepas 28-30 hari dieram. 

Sifat Itik Muscovy

Sekali lihat nampak macam jinak saja. Tetapi sukar mengikut arahan kita (degil). Sebaiknya itik ini dikurung dalam kawasan berpagar dan tidak dibenarkan lepas bebas macam itik Khaki Campbell, masalah yang selalu timbul adalah itik ini boleh terbang macam burung, terutama sekali itik betinanya. Kadang-kala itik ini boleh hilang begitu saja.

Masalah ini boleh diatasi dengan cara memotong separuh sayap kerasnya (sayap terbang) sebelah pun sudah cukup, pasti ia tidak berupaya untuk terbang lagi.

Memproses Makanan Itik

Membuat Makanan Itik

Makanan itik mestilah mempunyai perkara-perkara berikut:-

-Karbohidrat
Boleh didapati dari padi, beras, nasi buangan kedai makan, gandum, hampas soya, hampas kacang dan lain-lain, Tetapi jangan gunakan hampas kelapa, hampas sawit, hampas malt atau hampas-hampas yang bersifat panas dan berminyak kerana boleh menyebabkan kerosakan pada benih telur yang baru terbentuk dalam perut itik itu seterusnya akan menyebabkan itik tidak bertelur. Gunakan bahan-bahan terbuang yang mudah didapati di tempat tuan-tuan.

Contohnya beras reject boleh dibeli dari mana-mana kilang beras cthnya Jasmine. Kilang Jasmine ada menjual beras istilahnya beras kotor iaitu beras yang tumpah ke lantai semasa proses pembungkusan beras, beras itu dikumpulkan dan dipaket lalu dijual kapada penternak-penternak. tuan-tuan boleh pergi bertanya. biasa dijual dengan 50 kg harga RM40.00, Beras tu dibasuh dulu sebelum dimasak dan dicampur dengan ikan reject dalam sukatan 60% beras 40% ikan. Masak semua sekali sampai jadi nasi.

Penjimatannya melebihi 100% berbanding beli makanan itik telur dari kedai. Sebabnya beras bila dimasak jadi nasi, Kuantitinya bertambah 2-3 kali ganda. 50 kg beras boleh menjadi 150 kg - 200 kg nasi. So, jimat tak? Tapi jangan beli beras hancur/patah/temekut. sebabnya bila dimasak dia tak mau jadi nasi jadi bubur saja, beras kotor atau bercampur sampah tak mengapa.

-Protein
Sisa buangan gerai ayam atau tempat sembelihan ayam seperti kulit ayam, lemak ayam, perut ayam dan lain-lain. Semua bahan ini perlu direbus dan dihancurkan terlebih dahulu sebelum diberikan kepada itik.

Ikan reject yang boleh didapati dari pengkalan bot nelayan seperti di Kuala Selangor, Ikan ini adalah ikan  fresh yang ditangkap oleh nelayan tetapi tidak boleh dijual dipasaran seperti anak-anak ikan dan beberapa jenis ikan yang tidak laku dijual. Ikan-ikan ini dikenali dengan beberapa nama seperti ikan baja, ikan busuk, ikan reject dan lain-lain. 

Ikan-ikan ini boleh diperolehi dari pengkalan bot nelayan seperti di Pasir Penambang, Kuala Selangor dan lain-lain tempat. Harga di Pasir Penambang adalah 60 sen sekilo. Ikan-ikan ini boleh dibeli dalam jumlah yang banyak dan disimpan di dalam peti ais untuk digunakan selama seminggu contohnya. Bahan ini perlu direbus sebelum dicampurkan kedalam makanan itik.

-Mineral / Kalsium
Bahan yang diperlukan untuk menguatkan tulang itik dan penting dalam pembentukan kulit telur itik yang baik. Bahan yang paling mudah ialah tepung tulang yang boleh dibeli dari pasaran. Bahan yang percuma seperti kulit ala-ala (cengkerang lembut) kulit kerang (perlu dihancurkan) tulang ikan, tulang ayam, tulang lembu dll (perlu dihancurkan) juga boleh digunakan.

Bagi sesiapa yang tinggal di daerah Kuala Selangor dan yang berdekatan boleh pergi ke Pantai Remis di Jeram. Pasir di sepanjang Pantai Remis itu sebenarnya adalah kulit kerang yang telah dihancur oleh ombak laut sejak ribuan tahun dahulu. Bentuknya halus bagaikan tepung, tak payah nak dihancurkan lagi dah. So, apa tunggu lagi...ceduk saja la..

Selain dari itu, pasir juga boleh digunakan, cuba letakkan beberapa longgok pasir dalam reban, perhatikan dalam masa beberapa hari , pasir itu akan habis dimakannya. Sebabnya pasir juga adalah sejenis bahan mineral dan itik akan memakannya.

-Serat
Unsur tumbuhan seperti rumput-rampai, sayur terbuang dari pasar, batang pisang, keladi dan lain-lain juga penting dalam diet makanan itik.

Rumput Napier (makanan lembu) boleh menghijaukan kulit telur itik. Rumput ini dihancurkan dan dicampurkan ke dalam makanan itik. Telur itik yang berwarna hijau dipercayai lebih berkhasiat berbanding telur biasa. Kedai-kedai jamu di sekitar KL menjual telur itik hijau ini dengan harga RM1.50 - RM 1.80 sebiji kepada pelanggannya Ambillah peluang ini, tuan-tuan boleh menghasilkan banyak telur itik hijau menggunakan rumput napier ini.

-Vitamin campuran
Boleh dibeli dari kedai menjual makanan haiwan. Dikenali sebagai vitamin pre-mix.

-Pemerah Kuning Telur
Dikenali sebagai Carophyll, Xantrophyll atau Syntethic Pigment. Berfungsi sebagai bahan pewarna untuk memerahkan kuning telur itik. Kenapa? kerana pengguna dalam pasaran sukakan kuning telur yang berwarna merah dalam telur masin. Bahan ini sangat mahal, harganya sekarang hampir mencecah RM400.00 se-kg.

Alternatif kepada Carophyll adalah ikan (protein). Contohnya untuk 60 kg beras yang dimasak campurkan dengan 40 kg ikan, menjadikan jumlahnya 60% beras 40% ikan. Selain itu campurkan juga mineral , vitamin dan serat. Dengan kadar ini, sudah cukup untuk menjadikan kuning telur menjadi merah. Tuan-tuan boleh mencuba sendiri, sekiranya warna merahnya belum cukup terang, tambahkan lagi kadar peratusan ikan sehinggalah tuan-tuan berpuas hati.


Dengan kadar protein yang sesuai sudah cukup untuk membuatkan itik bertelur dengan banyak, saiz yang besar dan kuning telurnya berwarna merah. Walaubagaimanapun perlu saya ingatkan disini bahawa terlebih memberi protein pun ada bahayanya juga. Dalam satu peristiwa seorang rakan saya membeli ikan reject. Ikan itu dicincang-cincang mentah lalu diberi makan kepada itik dengan tidak direbus terlebih dahulu. Itiknya bertelur dengan banyak dan bersaiz besar.  Lama-kelamaan ada itiknya yang mati tiba-tiba. Bila diperiksa, rupanya telurnya tidak dapat keluar kerana saiz telurnya terlalu besar.

Membuat telur masin

Peringatan!!
Sebaik-baiknya membuat telur masin  hendaklah menggunakan telur yang kering, kalau telur itu basah, ia hendaklah diproses ketika itu juga (selepas dikutip dari reban). telur itu dicuci, ditoskan dan keringkan. Tujuannya adalah untuk mengeluarkan air yang terperangkap ke dalam telur itu.

Kenapa telur ini amat sensitif pada air?

Kerana pada permukaan telur itu ada liang-liang halus yang membenarkan kemasukan air ke dalam telur. Liang halus ini tidak dapat dilihat menggunakan mata kasar hanya boleh dilihat melalui mikroskop. Air yang termasuk kedalam telur ini membawa bersamanya bakteria yang boleh merosakkan telur seterusnya menjadikan telur itu busuk.

Membuat Telur Masin Menggunakan Air Garam

Masak air, selepas mendidih tuangkan air ke dalam bekas yang sesuai (baldi, tong air dsb).

Masukkan garam kasar sedikit demi sedikit dan kacau, bila garam itu larut masukkan lagi garam dan kacau. ulangi proses ini sehingga garam itu tidak dapat larut. Ini menandakan bahawa garam sudah tepu didalam air itu dan tidak dapat larut lagi, cukup setakat itu.
Telur Ayam juga boleh diproses menjadi telur 
masin, teknik buatannya sama seperti telur itik

Tunggu sehingga larutan garam itu sejuk, kemudian masukkan telur kedalam larutan itu, selagi boleh tenggelam masukkan telur lagi. tutup baldi itu dengan penutup yang sesuai (talam, pinggan dsb) ini adalah untuk mengelakkan bekas itu dimasuki sampah dan habok.

Selepas 3 hari diperam, ambil 2-3 telur biji untuk dicuba. kalau masih kurang masinnya, peram lagi sampai seminggu lepas itu diuji lagi. kalau dah terasa sedap maka boleh lah dijual telur masin itu. Setengah orang sukakan telur yang diperam selama 3 hari ini kerana rasanya yang kurang masin. 

Selepas seminggu diperam dan rasanya dalam keadaan baik. telur itu perlu dikeluarkan dari larutan garam itu. Semakin lama diperam semakin masin jadinya. Tempat penyimpanan yang paling baik ialah didalam chiller sekiranya hendak disimpan lama. Jangan simpan didalam freezer kerana telur itu akan menjadi ais dan akan retak.

Membuat telur masin menggunakan tanah liat.

Telur Masin diproses dari tanah liat dan sekam padi bakar
Bahan-bahan yang diperlukan
-Telur itik yang sudah dibersihkan
-Air garam.Cara penyediaannya sama seperti topik diatas.
-Tanah liat atau tanah merah (top soil) yang kurang batu dan pasir. (kat tepi jalan pun ada, kalau pandai cari) mesti bersih dan tidak berbau. kalau tak jumpa boleh pergi bertanya pada syarikat yang jual benih pokok atau landscaping.
-Sekam padi bakar (sekam hitam). boleh dibeli dari kilang padi cthnya kilang Padi Bernas (Tanjung Karang, Sekincan, Sabak Bernam) atau kawasan lain yang ada menanam padi.

Cara membuatnya 

Tanah liat dan sekam padi sebaiknya dikukus terlebih dahulu untuk membunuh bakteria yang mungkin terdapat didalamnya.

Setelah dikukus, tanah liat itu dikeringkan dan dihancurkan menjadi seperti tepung. (Step ini kalau nak skip pun boleh)
  
Masukkan tanah liat kedalam larutan garam yang telah tepu itu dan kacau hingga sebati sehingga berbentuk seperti pes atau seperti adunan tepung untuk goreng pisang.

Celupkan telur itik kedalam adunan tanah liat dan garam itu sehingga tenggelam sepenuhnya dan golekkan telur itu diatas sekam padi bakar sehingga keseluruhan telur itu diliputi oleh sekam padi bakar.

Setelah itu simpan telur ini kedalam bekas yang sesuai seperti kotak, besen dan sebagainya (elakkan bekas diperbuat dari logam).

Tulis tarikh buatannya, dan simpan telur ini ditempat yang kering dan selamat pada suhu bilik. Setelah 3 minggu keatas, bolehlah dicuba telur ini. Kebiasaannya selepas sebulan diperam, telur ini sudah boleh dijual.

Perbezaan Telur Masin Menggunakan Air Garam dan 
Tanah Liat.

Guna Air Garam

Cepat menjadi. dalam masa 3 - 7 hari sudah boleh digunakan. Semakin lama diperam semakin masin telur itu. Apabila rasanya sudah sedap, telur itu perlu dikeluarkan dari air garam dan disimpan dalam chiller. Telur ini dijangka boleh bertahan selama 3 bulan sekiranya disimpan dengan baik dalam chiller.

Guna Tanah Liat

Tempoh sebulan diperlukan untuk pemeraman. Rasanya tidak berubah walaupun disimpan lama. telur ini dijangka boleh bertahan selama 6 bulan (jangkaan minima)  sekiranya disimpan dengan baik pada suhu bilik.

Pembungkusan

Kebiasaannya kotak kertas bersaiz 12 inci x 6 inci digunakan untuk mengisi 50 biji telur masin dari tanah liat. Untuk telur masin diperbuat dari rendaman air garam, kebiasaannya balang plastik (contohnya balang plastik mengisi gula-gula) digunakan. didalamnya diisi telur masin dan dimasukkan sekali air garam ke dalamnya.

Bungkusan plastik juga boleh digunakan, setelah dimasukkan air garam dan telur masin, plastik ini dikembongkan dan bahagian hujungnya diikat menggunakan getah gelang. Cara ini lebih menjimatkan kos dan telur masin dapat dijual dengan harga yang lebih murah. Terpulanglah kepada kebijaksanaan anda.

Bagaimana nak tahu telur yang baik dan yang sudah rosak atau yang hampir rosak?


Sediakan sebuah mangkuk dan isikan air paip, letakkan telur kedalamnya dan perhatikan kedudukannya.

1) Kalau telur itu tenggelam dan terbaring bermakna telur itu berada dalam keadaan baik.


2) Kalau kedudukannya berdiri tegak atau timbul bermakna telur itu telah rosak. ini disebabkan telah ada gas didalam telur itu yang menyebabkannya timbul. gas ini terhasil dari tindakbalas kimia yang terjadi didalam telur itu. kalau telur ini pecah akan keluarlah bau busuk yang dipanggil sebagai telur tembelang.


3) Kalau telur itu tenggelam dan terbaring tetapi seakan-akan hendak bangun, telur ini juga sudah mulai nak rosak tetapi gas yang terkumpul belum cukup banyak untuk membolehkannya terapung. Walaubagaimanapun, semasa kita memproses telur masin menggunakan rendaman air garam, teori ini tidak boleh dipakai, kerana didalam air garam semua telur akan timbul disebabkan kandungan garam dalam air itu.

Oleh itu, teknik diatas sebaiknya digunakan sebagai cara untuk memeriksa keadaan telur sebelum diproses menjadi telur masin.


Faktor Kegagalan Pengusaha?

     Berdasarkan pemerhatian kepada beberapa pengusaha yang saya kenali dan pemerhatian kepada projek penternakan itik yang pernah dijalankan sendiri, faktor terpenting yang membawa kepada kejayaan atau kejatuhan industri ini adalah faktor PENGURUSAN. Setengah pihak  mendakwa faktor kegagalan projek itik penelur ini adalah kerana tiada pasaran. Anggapan begitu adalah silap kerana permintaan untuk telur itik sentiasa ada. Telur itik digunakan dalam pelbagai industri makanan seperti telur segar dalam masakan, telur masin (permintaan terbesar), telur pindang, gerai jamu, industri pembuatan kuih-muih  (baulu, kuih bulan, kek) dan lain-lain.

Faktor pengurusan yang dimaksudkan disini   adalah pengurusan reban, pengurusan kesihatan ternakan, pengurusan kewangan, pasaran  dan lain-lain. Pengusaha yang telah berjaya amat menitik beratkan hal-hal tersebut.

Dari aspek pasaran, Bagi pihak yang baru menceburi atau ingin berjinak-jinak dalam bidang ini silalah tinjau ke kawasan pasar borong Selayang. Disitu terdapat tidak kurang dari 5-6 buah kedai pemborong telur yang bersedia membeli telur itik atau ayam dari tuan-tuan secara tunai asalkan memenuhi syarat-syarat mereka. Syarat-syaratnya (bagi telur itik) adalah seperti berikut.

-Berat sebiji telur  +- 60 -70 gram sebiji.
-Tidak boleh terkena air (mesti kering)
-Kuning telurnya berwarna merah (gunakan carophyill)

Syarat paling utama adalah tidak boleh terkena air bermaksud kalau telur itu kotor tidak boleh dibasuh dengan air, gunakan bulu besi pencuci pinggan untuk menggosok bahagian yang kotor pada telur itu dan lapkan dengan kain kering.

Kalau telur itik tuan-tuan memenuhi ketiga syarat diatas, mana-mana kedai pemborong telur akan menerimanya termasuk di kawasan lain yang pernah saya tinjau seperti di PJ, Shah Alam, Kelang, Taman Tun Dr Ismail, Gombak dan Putrajaya.

-Adakah Menternak Itik Telur Menguntungkan?

Saya pernah ditanya soalan ini,. boleh untung ke ternak itik ni? Soalan yang bercampur cabaran sebenarnya ini. Seolah-olah memperlekehkan usaha kita selama ini. Dalam banyak keadaan saya hanya mendiamkan diri. Buat apa layan orang bodoh.. Jawapannya saya akan nyatakan disini..  Bagi yang telah lama dan berjaya menternak itik tahu jawapannya. Jawapannya memang menguntungkan.

Untuk pengetahuan semua, itik penelur adalah itik yang mengeluarkan hasil telurnya setiap hari, oleh itu hasil jualannya adalah harian, bukan seperti menternak ikan, itik daging, ayam daging, lembu, kambing dan sebagainya yang terpaksa mengambil masa berbulan atau bertahun sebelum boleh menikmati hasil jualannya.

Kita ambil satu contoh katakan anda menternak 1000 ekor itik penelur. Katakan ada itik jantan dalam 100 ekor, oleh itu anda ada itik betina yang berpotensi untuk bertelur sebanyak 900 ekor.

Setelah sampai masa itik bertelur (5 bulan keatas) itik akan mula bertelur, mula-mula 5 biji, lepas tu 10 biji, lama-lama kelamaan semakin banyak, banyak dan terus meningkat sampai had maksimum katakanlah 850 biji sehari. lepas tu dia akan menurun sedikit, lepas tu naik balik, turun dan naik bergantung kepada penjagaan, pemakanan, stress, cuaca, musim meluuruh dan sebagainya.

Penternak berpengalaman tahu perkara ini dan mereka biasanya tahu cara-cara dan pantang-larang untuk mengelakkan penurunan hasil telur.

Katakan hasil maksima itik bertelur sebanyak 850 biji sehari. Andaikan telur gred A sebanyak 750 biji yang berharga RM0.50 sebiji. 750 biji x RM0.50 = RM375 sehari. Andaikan telur gred B sebanyak 60 biji yang berharga RM0.45 sebiji. 60 x RM0.45 = RM27.00 Selebihnya 40 biji telur gred C yang berharga RM0.40 sebiji. 40 x RM 0.40 = RM16.00 

Total
Gred A  750 biji x RM0.50 = RM 375.00
Gred B  60   biji x RM0.45 = RM   27.00
Gred C  40   biji x RM0.40 = RM   16.00
TOTAL                                   RM 418.00

Bermakna pendapatan anda sebanyak RM418.00 untuk satu hari. Adakah jumlah ini tidak menguntungkan? Anda kiralah sendiri kalau seminggu, sebulan dan seterusnya.

Itik akan mulai bertelur setelah 5 bulan keatas, dan akan terus-menerus bertelur dengan baik sehingga umurnya mencapai  2 tahun setengah. Ketika itu prestasinya mulai menurun dan anda perlu menyediakan penggantinya, Itik yang sudah tidak bertelur boleh dijual sebagai itik pencen.

-Saranan Kepada Penternak Itik

Anda mungkin mula-mula menternak itik secara suka-suka atau sebagai hobi, lama kelamaan apabila anda melihat potensi jualan telur itik ini semakin meningkat, mungkin anda berubah fikiran untuk menjadikan bidang penternakan itik penelur ini sebagai mata pencarian anda. Kalau anda berfikiran begitu saya ucapkan syabas.

Saranan saya :-

(Pertama) Mula-mula cuba menternak itik sampai mengeluarkan hasil, mungkin dalam jumlah yang tidak begitu besar. Anda mungkin menggunakan makanan itik yang dibeli dari kedai.

Untuk pengetahuan semua, dalam bidang penternakan itik ini kos makanan menyumbang hampir 70 % dari modal yang terpaksa ditanggung. Andai kita dapat menjimatkan kos makanan ini, maka disitulah keuntungan kita.

Cuba proses makanan itik sendiri, gunakan kaedah yang telah saya nyatakan diatas, atau anda boleh mendapatkan khidmat nasihat dari Jabatan Haiwan yang berhampiran dengan anda.

(Kedua) Setelah Itik mengeluarkan hasilnya, anda mungkin menjualnya secara mentah kepada pemborong atau pembeli lain. Cuba proses sendiri telur masin dan menjualnya. Harga telur masin yang siap adalah lebih tinggi dari harga telur mentah. Ada dua kaedah memproses telur masin (1) menggunakan air garam (2) menggunakan tanah liat dan sekam padi bakar. Kedua-dua kaedah ini adalah mudah sahaja, saya yakin anda boleh melakukannya. cuma memerlukan masa dan beberapa kali membuat eksperimen. Atau anda boleh merujuk kepada Jabatan Haiwan atau Mardi yang mungkin menganjurkan kursus-dalam bidang itu. Kalau anda berjaya melakukan ini, bermakna keuntungan anda semakin meningkat.

(Ketiga) Melakukan pembenihan anak itik samada secara semulajadi atau inkubutor. dan menjual anak itik. Harga anak itik sekarang berlegar sekitar RM3.00 - RM 6.00 seekor. Bergantung kepada kawasan.

(Keempat) Memproses makanan itik sendiri secara komersil dan menjualnya. Anda periksalah sendiri harga makanan itik penelur (Layer) di pasaran sekarang. Andai anda dapat menjual dengan harga yang agak rendah sedikit dari harga pasaran, nescaya penternak lain akan membeli dari anda. Walaubagaimanapun, ini memerlukan modal yang agak tinggi untuk membeli mesin dan peralatannya.

-Kenapa Saranan ini dibuat??

Kerana saya rasa kesal melihat penternak yang saya kenali (kebanyakannya bumiputra) yang telah bertahun-tahun menternak itik tetapi tidak boleh berkembang. Duduk kat takuk tu juga, hanya membeli makanan itik (tidak berusaha membuat makanan sendiri), menternak itik, dan menjual telur itik mentah kepada pemborong telur. Itu saja. Lama-kelamaan tutup. Harapan saya ingin melihat ada penternak kita berjaya melepasi tahap daripada pembekal telur mentah kepada memproses dan menjual telur masin, menjual anak itik dan makanan itik.

Projek Penternakan Itik Penelur (3500 ekor) Dis 2010 - Sept 2011 (Dalam kenangan) Penganjur dan Nama Tempat dirahsiakan untuk menjaga nama baik semua pihak.

Sebagai contoh sebuah syarikat di selatan tanahair (bukan bumiputra) memiliki hampir setengah juta itik, memproses dan menjual telur masin untuk pasaran dalam negara dan juga dieksport ke luar negara. Mereka jugalah antara pembekal makanan itik dan anak itik untuk pasaran kebanyakan tempat di seluruh negara. Renung-renungkanlah ye..

Sekianlah dahulu untuk kali ini, kalau ada kelapangan saya akan menulis lagi. Sekian . Terima kasih,